The Malaysian Insider
KOTA BHARU, Nov 3 — Kerajaan hari ini mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri ini pada Ahad 8 November ini sebagai meraikan kejayaan Kelantan yang berjaya memasuki perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia bagi musim 2009.
Perkara itu disahkan oleh exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, selepas majlis mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang turut dihadiri presidennya, Tan Sri Anuar Musa, di pejabat KAFA di sini.
Kelantan sebelum ini dilanda kemarau hampir 39 tahun untuk beraksi di pentas final saingan paling berprestij di Malaysia akhirnya berjaya dileraikan oleh skuad Red Warriors (Kelantan) yang dipimpin oleh B.Sathianathan selaku jurulatih setelah berjaya menewaskan Perlis dengan agregat 5 – 1.
Naib juara piala FA itu berjaya menyingkirkan Perlis pada perlawanan separuh akhir dengan 3 – 1 di Stadium Utama, Kangar. Sebelum itu ketika beraksi di gelanggang sendiri mereka menguasai perlawanan dan berjaya menundukkan lawannya, singa utara itu dengan 2 – 0.
Takiyuddin, ketika menjawab soalan pengumuman cuti terlebih awal itu menggambarkan seolah-olah Kelantan sudahpun memenangi perlawanan akhir berkata, tindakan kerajaan sebagai menghormati kejayaan pasukan Kelantan yang telah berjaya mara ke perlawanan akhir.
“Memang kita beroptimis Kelantan akan menang. Tahniah kepada pasukan red warriors, dan tahniah kepada Tan Sri Anuar serta jurulatih B.Sathianathan kerana berjaya membimbing pasukan ini meleraikan kemarau dilalui pasukan Kelantan yang hampir 39 tahun lamanya dalam liga piala Malaysia bola Sepak negara” katanya.
Sehubungan itu, Anuar turut merakamkan ucapan terima kasih di atas komitmen kerajaan negeri yang turut memberi sokongan moral kepada pasukan red warriors, dan sumbangan peribadi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disampaikan selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa minggu lalu.
Dalam sejarah liga piala Malaysia Kelantan hanya berjaya memasuki perlawanan akhir sebanyak dua kali iaitu pada tahun 50-an dan pada 1970.
Pada perlawanan akhir tersebut pasukan red warriors akan bertemu dengan pasukan Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 7 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Negeri Sembilan berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir tersebut setelah menewaskan Terengganu dengan agregat 4 – 2.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua pasukan untuk musim 2009, Negeri Sembilan tiga kali menewaskan Kelantan. Dua kali dalam saingan liga, sekali dalam saingan Piala Malaysia manakala Kelantan hanya mampu menewaskan Negeri Sembilan sekali di Paroi dalam saingan Piala FA yang memberi Kelantan tiket ke final Piala FA.
Walau apapun, mengikut peminat sukan khususnya sukan bola sepak, membuat rumusan terakhir bahawa di dalam pertaruhan bola sepak adalah serba kemungkinan kerana bola itu ‘bulat’.
0 ulasan:
Catat Ulasan